Bab 6 (Pengurusan
Bilik Darjah)
Pengenalan
Persekitaran
fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana ia boleh
menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Persekitaran bilik darjah yang
teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan.
Menurut
Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau
‘musuh’ dalam pengajaran. Ruang bilik darjah perlu diurus bersesuaian dengan
aktiviti pengajaran. Tempat duduk perlu disusun,papan kenyataan dihias dan
karel pembelajaran dan rak-rak buku perlu dipasang. Di samping itu, pengurusan
bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap positif terhadap sekolah dan
pembelajaran secara umum. Seorang guru haruslah sentiasa menunjukkan contoh
yang baik kepada anak murid mereka.
Bagi
memainkan peranan sebagai pengurus yang berkesan, kita perlulah memahami
kesukaran situasi bilik darjah dan mengenali faktor-faktor yang boleh membantu
untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang sihat.
Konsep Persekitaran Bilik Darjah yang
Kondusif
Persekitaran
pembelajaran yang kondusif ialah tempat murid dapat melibatkan diri, mengambil
bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Persekitaran ini
mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat murid untuk terus
belajar. Iklim yang dapat memotivasikan murid merujuk kepada suasana atau
budaya yang dapat mewujudkan motif dalam diri murid untuk bertindak ke arah
mencapai matlamat pembelajaran. Seorang guru perlu membina keadaan bilik darjah
yang kondusif serta berkesan dalam menghadapi tingkah laku. Hal ini melibatkan
pendekatan pengajaran, corak komunikasi, kemahiran guru dalam mengurus, cara
seseorang guru mengawal murid dan aktiviti-aktiviti dalam bilik darjah serta
personaliti guru itu sendiri. Dalam persekitaran ini, murid menyedari kelebihan
sikap berdikari mempunyai perasaan bertanggungjawab dan kesepunyaan terhadap
pembelajarannya.
1) Persekitaran
Fizikal
Suasana
fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana suasana bilik
darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang
berkesan. Menurut Marland (1975),
suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam
pengajaran. Persekitaran yang selesa, kemas dan ceria mampu menyeronokkan pengalaman
pembelajaran murid. Persekitaran fizikal
di dalam bilik darjah merangkumi aspek-aspek seperti susunan dan reka bentuk
fizikal di dalam bilik darjah, sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut
pembelajaran, ruang pada dinding, pengcahayaan, pengudaraan dan perabot serta
kebersihan. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan
sikap positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum.
2) Persekitan
Psikososial
Psikososial
merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran
sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai
ciri-ciri seperti suasana selesa dan mesra, bebas daripada ancaman dan bahaya
fizikal, suasana yang merangsang pembelajaran, menggalakkan pembelajaran
koperatif dan memberi peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang memberi
kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran,
gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang guru wujudkan
di dalam bilik darjah. Jika persekitaran
psikososial ini tidak dititikberatkan oleh guru, masalah disiplin akan berlaku
dalam kalangan murid. Oleh itu, bagi
menguruskan keperluan psikososial setiap murid, guru perlulah menjadi seorang
guru yang asertif. Mengikut Model Disiplin Asertif Canter, pendekatan yang
terbaik untuk menguruskan bilik darjah adalah dengan menggunakan pendekatan
asertif. Guru asertif mempunyai matlamat yang jelas dengan pengurusan, yakin
dan tegas dalam menetapkan peraturan dan pada masa yang sama akan bersikap adil
kepada semua murid. Jika seorang guru ini konsisten bersikap asertif ini dapat
membantu membina persekitaran yang tenang dan menyokong perkembangan
pembelajaran dan psikososial murid.
3) Peraturan
Dan Rutin Bilik Darjah
Pada
umumnya, murid sekolah rendah mula berdikari namun mereka masih memerlukan
pemantauan. Pada peringkat ini, mereka suka diberi perhatian dan menunjukkan
respon yang positif apabila diberi insentif atau hadiah. Menurut Erik Erison,
kanak-kanak pada peringkat ini mula mendapat pengalaman baharu dan berfokus
kepada pembelajaran pengetahuan dan kemahiran baharu. Namun, murid pada
peringkat ini memerlukan struktur dan prosedur-prosedur kerja yang jelas agar
mereka boleh berfungsi dengan baik di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru
perlulah membina peraturan dan prosedur untuk mentadbir aktiviti dalam bilik
darjah. Peraturan merupakan pernyataan yang menentukan perkara-perkara yang
boleh dan tidak boleh dilakukan oleh murid. Contoh peraturan yang biasa ditemui
ialah setiap murid perlulah mempunyai rasa hormat, mesra dan bersifat membantu
rakan-rakan mereka, murid perlu menyiapkan tugasan mereka dan murid perlu
mengangkat tangan mereka jika mahu menjawab sebarang pertanyaan. Mengikut Model Pengurusan Kounin, asas kepada
keberkesanan pengurusan disiplin bilik darjah bergantung kepada pengawasan dan
penyeliaan yang teliti guru terhadap bilik darjah. Faktor utama dalam
menguruskan tingkah laku di dalam bilim darjah menurut Kounin adalah berkaitan
dengan kebolehan guru untuk mengawasi semua perkara yang berlaku di dalam bilik
darjah. Contohnya, dalam gerak kerja kumpulan, seorang guru berjaya mengawasi
dan berinteraksi dengan semua kumpulan kecil walaupun pada ketika itu dia
sedang mengajar kumpulan yang tertentu. Dengan kepekaan ini, seorang guru
berupaya menjangka masalah yang akan timbul dan selalunya dapat menghalang
masalah daripada menjadi semakin serius.
Selain
itu, guru juga akan membentuk rutin di dalam bilik darjah untuk
aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Rutin ialah prosedur atau langkah-langkah
yang mesti diikuti oleh murid dalam aktiviti spesifik mereka. Rutin bertujuan
melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Contoh amalan rutin ialah guru
mengambil kehadiran setiap hari, cara mengedar dan menyimpan bahan pengajaran,
membentuk kumpulan dalam kelas, menghantar buku latihan atau kerja rumah dan
lain-lain. Setiap rutin yang dibentuk hendaklah sentiasa dipantau dan diberi
peneguhan sehingga prosedur-prosedur ini menjadi satu budaya dalam kalangan
murid dan seterusnya menjadi suatu budaya di sekolah tersebut. Untuk
mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat
Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan
tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam
bilik darjah.
Rumusan
Semasa
menguruskan bilik darjah, guru memainkan pelbagai peranan penting. Bilik darjah
merupakan sebuah komuniti kecil dan menjadi tempat di mana seorang guru dan
sekumpulan pelajar saling berinteraksi. Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang
guru untuk menguruskan bilik darjah dengan bantuan murid-murid. Dalam usaha ke
arah menyediakan persekitaran yang kondusif, guru perlulah mengambil kira ciri
fizikal sesebuah bilik darjah, faktor emosi dan sosial serta peraturan dan
rutin yang dilaksanakan. Melalui persekitaran bilik darjah yang kondusif ini,
guru dapat melahirkan pelajar yang lebih
berdisiplin dan suasana harmoni dalam bilik darjah dapat diwujudkan. Selain itu
pembentukan suasana bilik darjah yang ceria dan menyeronokkan secara tidak
langsung dapat mengurangkan gejala ponteng sekolah. Pengurusan bilik darjah
yang berkesan mampu meningkatkan kualiti pelajar yang akan dilahirkan oleh
institusi pendidikan, sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial yang semakin
menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Rujukan
No comments:
Post a Comment