Monday, November 5, 2018

Bab 14 : Pengurusan Alam Pembelajaran

Bab 14 (Pengurusan Alam Pembelajaran)

Pengenalan
Di dalam bilik darjah, selain mengajar, guru juga memainkan peranannya sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif, mengurus bahan-bahan pengajaran dan sebagainya. Kecekapan guru dalam menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan. Manakala menurut Lee Shok Mee (1993), alam pembelajaran bermaksud keadaan atau suasana belajar yang dapat meransang minat belajar kanak-kanak dalam mencapai matlamat perubahan tingkah laku ke arah positif dan daripada tidak tahu kepada tahu.

PERSEDIAAN KE ALAM PERSEKOLAHAN
1.   Menentukan Objektif Pengajaran dan Pembelajaran
  • Ciri utama guru berkesan atau guru efektif ialah menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran dengan jelas dan saksama berasaskan tahap pencapaian murid. Objektif perlu dimaklumkan dan diketahui oleh murid-murid sebelum pembelajaran bermula. Penetapan sedemikian membolehkan mereka menyedia dan mengubahsuai mind-set yang tepat terhadap pengetahuan, kemahiran dan perlakuan yang perlu dicapai apabila pembelajaran tamat. Guru boleh mengukur dan menilai tahap pencapaian murid berdasarkan hasil pembelajaran atau learning outcome.
2.   Menyediakan Rancangan Mengajar
  • Guru mesti membuat perancangan pelajaran sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran, termasuklah guru berpengalaman, guru cemerlang dan guru pakar. Persediaan mengajar oleh guru akan melibatkan masa yang berbeza mengikut pencapaian murid, kelas, bahan, dan kearifan individu guru. Objektif dan isi pelajaran disusun mengikut keutamaan atau kefahaman murid, seperti bermula daripada aspek yang mudah kepada yang lebih sukar, aspek yang berada dalam pengetahuan atau pengalaman murid kepada perkara yang belum berada dalam pengetahuan dan pengalaman mereka. Setiap perkembangan pelajaran diikuti pula oleh aktiviti murid secara terancang dan sebahagainnya secara spontan.
3.   Kepelbagaian Kaedah Mengajar
  • Pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan berkesan sekiranya guru menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh murid. Guru perlu sentiasa mengubahsuai strategi mengikut jangkaan keberkesanan penggunaan sesuatu kaedah. Guru yang berhasrat untuk menjadikan pengajarannya efektif, seharusnya membuat kajian atau penyelidikan mengenai kaedah yang paling sesuai untuk sesuatu isi pelajaran, topik atau kemahiran. Kajian saintifik perlu dibuat untuk menilai kekuatan dan kelemahan kaedah yang digunakan. Guru perlu berkemahiran dalam membuat kajian tindakan atau pemerhatian saintifik.

KAJIAN DI SEKOLAH
Kajian tindakan adalah satu kajian yang berbentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan oleh peserta iaitu pengamal pendidikan, guru atau pendidik sebagai penyelidik dalam situasi sosial itu sendiri. Sebagai penyelidik, mereka melaksanakan tindakan praktik (intervensi) bertujuan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti amalan masing-masing, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan. Ia melibatkan proses membuat refleksi, merancang, melaksanakan dan memerhati.

Terdapat pelbagai definisi kajian tindakan yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar kajian tindakan. Antaranya adalah seperti berikut:
i. Kemmis & McTaggart (1988)
Kajian tindakan merupakan satu bentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan secara kolektif, dilakukan oleh peserta yang berada dalam sesuatu situasi sosial bertujuan meningkatkan kerasionalan dan keadilan amalan-amalan kemasyarakatan dan pendidikan mereka sendiri, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan.
ii. Ebbut (1985)
Kajian tindakan merupakan suatu pengkajian yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.
iii. McNiff (1988)
Kajian tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya. Ia melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka serta melibatkan guru-guru lain secara bersama.

Berdasarkan pelbagai definisi tersebut dapat dirumuskan bahawa kajian tindakan merupakan satu kaedah untuk guru mereflek masalah yang mereka hadapi, memungut dan menganalisis data dan melaksanakan perubahan terhadap amalan mereka berdasarkan dapatan-dapatan yang diperolehi. Kajian tindakan menjurus kepada matlamat menjalankan penyelidikan tindakan, iaitu atas keinginan dan kecenderungan guru untuk membaiki kualiti amalan atau pengajaran pembelajaran serta situasi kerja.

AKSI GURU DI SEKOLAH
  • Kompetensi Guru
Kompetensi tersebut dengan tujuan meningkatkan keterampilan bertanya bagi guru baru agar proses belajar mengajar tidak hanya terjadi interaksi satu arah, meningkatkan keterampilan guru baru dalam pengelolaan kelas agar proses belajar dan mengajar dapat berlangsung dengan aman dan tertib. Selain itu,ia juga dapat meningkatkan keterampilan guru baru dalam mengadakan variasi mengajar, terutama variasi penggunaan media, variasi pandangan dan perhatian, serta variasi penggunaan metode mengajar. Seterusnya, dapat meningkatkan keterampilan guru baru dalam menjelaskan subjek yang diajarkan. Salah satu bentuk bimbingan profesional yang diberikan kepada guru baru berdasarkan kebolehannya adalah melalui pengulangan yang sistematik dimulai dari tahap perancangan yang teratur serta pelaksanaan dan intensif terhadap penampilan mengajar.

REFLEKSI
  • Proses Belajar & Mengajar
Dalam proses belajar-mengajar ini perlu diperhatikan dua teori psikologi, iaitu teori tingkah laku dan teori kognitif. Kedua-dua teori itu mempunyai perbezaan dalam hal pembelajaran. Teori tingkah laku lebih menekankan kepada apa yang dipelajari oleh pelajar sedangkan teori kognitif lebih menekankan kepada bagaimana mereka belajar.
  • Peranan Guru
Mengajar bertujuan memberi pengetahuan supaya dapat difahami oleh pelajar. Oleh itu, mengajar dikatakan sangat baik apabila hasil belajar yang berkesan diberikan oleh guru di sekolah. Pernyataan ini dapat dipenuhi apabila pengajar mampu memberikan tumpuan mengajar yang baik sehingga terjadi proses belajar yang berkesan di sekolah.

Rumusan
Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini perlu dititikberatkan oleh para guru supaya minat para pelajar dapat dipupuk dengan mudah. Selain itu,segala pemindahan maklumat akan berjalan lancar sekaligus meningkatkan pencapaian para pelajar.

Rujukan
Hasan Saragih. (2008). Kompetensi minimal seorang guru dalam mengajar. Jurnal Tabularasa PPS Unimed, vol.5 No.1. Diperoleh daripada http://digilib.unimed.ac.id/715/1/Kompetensi%20minimal%20seorang%20guru%20dalam%20mengajar.pdf

Mohamad Johdi Salleh. (2007). Guru efektif dan peranan guru dalam mencapai objektif persekolahan sekolah rendah: Perspektif Guru Besar. Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007. Diperoleh daripada http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/seminarpapers/2007/Edmanagement/mohdjohdiUIAMfp.pdf

No comments:

Post a Comment